BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, October 20, 2009


Jiwa orang selalu ingat Allah sentiasa bening, tenang walaupun banyak masalah hidup

ORANG dalam hatinya terpancar keimanan kukuh, akan selalu giat berusaha sepanjang langkah usianya untuk bertaqarub kepada Allah kerana didorong rasa cinta mendalam terhadap-Nya. Kasih sayang dan kecintaan kepada Allah menjadikan seseorang itu sentiasa rindu pada-Nya.

Ibarat seorang anak muda sedang mabuk asmara, selalu terkenang-kenang si buah hatinya. Orang yang beriman, ingatannya tetap bergetar tulus kepada-Nya tanpa mengira waktu dan tempat. Bagi mukmin sejati, zikir dan hati adalah satu nyawa, tidak boleh dipisahkan.

Ia ditegaskan Ibn Taimiyah: “Zikir bagi hati adalah umpama air bagi ikan, bagaimana keadaan ikan apabila berpisah daripada air?”

Inilah gambaran orang beriman, yakin percaya kepada Allah dan menginsafi diri tidak lebih sebagai seorang hamba sangat lemah yang selama ini menerima nikmat Allah tidak terhitung banyaknya.

Hal ini menepati firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya; dan bertasbihlah kamu kepada-Nya pada waktu pagi dan petang.” (Surah al-Ahzab, ayat 41-42)

Kebanyakan masyarakat faham zikir hanya kata-kata yang dilafazkan saban kali habis menunaikan solat fardu, solat sunat atau membisik doa ketika ingin makan, memulakan sesuatu kerja yang baik, terjaga dan tidur serta bersin.

Padahal hakikat zikir kepada Allah sebenarnya tidak tertentu kepada zikir lisan semata-mata seperti mana ditegaskan Al-Imam An-Nawawi, bahawa zikir tidak terbatas kepada tasbih, tahlil, takbir dan lain-lain zikir lisan, mereka yang bekerja kerana Allah juga orang yang berzikir kepada Allah.

Pendapat beliau disokong Basri Ibrahim Al-Azhari dalam bukunya Salah Faham Terhadap Konsep Ibadah, Ilmu dan Zikir, bahawa setiap orang yang taat kepada Allah, mengikut segala diperintahkan dan meninggalkan dilarang oleh-Nya dikira sebagai orang yang berzikir.

Zikir terbahagi kepada tiga bahagian iaitu zikir hati, lidah dan anggota. Zikir hati memikirkan keagungan dan kebesaran Allah di bumi, langit dan seluruh kejadian makhluk-Nya. Zikir lidah pula melantunkan puji-puji kepada Allah, mensyukuri nikmat kurniaan-Nya, menyeru masyarakat ke arah ajaran Islam, menerangkan kebaikan syarak, menjelaskan hikmah pada perintah dan larangan Allah, memberi nasihat kepada sesama Islam.

Sementara zikir anggota pula menggunakan anggota badan untuk melakukan amalan ketaatan, sama ada dalam bentuk melakukan segala suruhan atau meninggalkan segala larangan Allah.

Orang yang lupa atau lalai kepada Allah, hatinya selalu dirundung resah gelisah, tenggelam dalam kebimbangan dan sengaja meletakkan dirinya di tempat mengundang kemurkaan Allah lantaran tidak rasa bersalah terhadap kemungkaran dilakukan.

Lupa kepada Allah menandakan hati seseorang itu sudah berkarat dengan sifat mazmumah yang sangat keji.

0 comments: